Khamis, 29 April 2021




KUMPULAN KETIGA
 
TAJUK : RUKUN NEGARA



NAMA : SITI NUR SYAHIRAH BINTI ABDUL WAHAB
                                                          NO MATRIK : 14DHF20F2007



 NAMA : IZZRIEN NATASHA BINTI A AZIZ
                         NO MATRIK : 14DHF20F2002



             NAMA : NUR HIDAYAH ATIRA BINTI HASRI
                                                           NO MATRIK : 14DHF20F2010
          
                                                                                                                                                                                        
                                     
                                                    
                    NAMA : ADREINA SYAFIRA BT ZAMZURI
                    NO MATRIK : 14DHF20F2009
              



       NAMA : ALYA SYAHIRA BINTI ZULKARNAIN
                                                       NO MATRIK : 14DHF20F2011






 RUKUN NEGARA

            Maksud Rukun Negara ialah ideologi kebangsaan Malaysia. Rukun Negara telah diistiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-13 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang Dipertuan Agong IV.

 

SEJARAH PEMBENTUKAN RUKUN NEGARA

             Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

 

 LIMA PRINSIP RUKUN NEGARA

               Menurut Kamus Dewan (2005), Rukun Negara adalah falsafah negara Malaysia yang mendukung lima prinsip, iaitu:

  1.    Kepercayaan kepada Tuhan
  2.    Kesetiaan kepada Raja dan Negara 
  3.    Keluhuran Perlembagaan 
  4.    Kedaulatan Undang-Undang
  5.    Kesopanan dan Kesusilaan   

 

LAGU LIMA PRINSIP RUKUN NEGARA



1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

           Prinsip ini menggambarkan bahawa asas kehidupan beragama merupakan prinsip penting dalam kehidupan rakyat di negara kita. Sebarang bentuk ideologi atau ajaran yang menolak kepercayaan kepada Tuhan (atheis) seperti fahaman komunis tidak akan mendapat tempat di negara ini. Ini adalah kerana agama telah menjadi unsur penting dalam membentuk rohani (spiritual) masyarakat kita.

 

           Di dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri menetapkan bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kepercayaan atau agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas. Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan seharusnya dapat menerapkan kepercayaan beragama secara positif yang boleh membangun “pemikiran luhur” dalam hubungan pelbagai kaum serta dapat membina jati diri yang padu.

 

         Setiap penganut agama sewajarnya menjadikan agama masing-masing sebagai asas membina keharmonian dan perpaduan, bukannya menggunakan agama sebagai alat mencipta permusuhan. Justeru, semua kepercayaan agama di negara ini harus menolak sebarang bentuk ekstremisme agama, sebaliknya mengamalkan fahaman kesederhanaan yang dapat menyubur sikap persefahaman dan bertolak ansur atau saling bertoleransi.

 

2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA 

          Di negara kita, Raja dan Negara mempunyai kaitan yang sangat rapat. Ini adalah kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah ketua negara. Perkara 44 pula menyebut bahawa YDPA adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk Parlimen di negara ini.

 

            Justeru, prinsip kesetiaan dan ketaatan kepada Raja dan Negara menjadi unsur dan ciri penting dalam soal kewarganegaraan di negara ini. Setiap warganegara Malaysia perlu menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Yang Dipertuan Agong dan negara. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Penghayatan terhadap prinsip kedua mampu membentuk satu bangsa Malaysia yang patriotik dan bersatu padu kerana Raja adalah “payung negara” yang menaungi seluruh rakyat di negara ini. Justeru, institusi raja tidak boleh dicemari, diperlekeh atau dihina serta ia tidak wajar dipolitikkan sama sekali.

 

    Prinsip ini juga bertujuan melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan sanggup berkorban untuk negara demi keamanan dan kemajuan. Pegangan yang teguh kepada prinsip ini dipercayai dapat melahirkan rakyat seperti berikut:

1. Menghormati harta awam.

2. Menghormati simbol-simbol kehormatan negara.

3. Mematuhi undang-undang.

4. Produktif.

5. Sanggup menyumbang masa dan tenaga untuk pembangunan masyarakat dan negara.

6. Berusaha meningkatkan nama baik negara melalui aktiviti sosial, ekonomi dan politik yang diceburinya. 

 


3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN  

            Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan bermaksud ketinggian dan keagungan undang-undang atau perlembagaan itu sendiri. Keluhuran Perlembagaan Malaysia terletak kepada kedudukannya sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi sumber dan punca kepada semua undang-undang seperti yang disebut dalam Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan.

 

               Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin keadilan, kerjasama, kesepakatan dan kepentingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Setiap rakyat mempunyai kedudukan atau taraf yang sama di sisi undang-undang. Justeru, perlembagaan memberi jaminan terhadap hak asasi, kebebasan rakyat dan keadilan sosial untuk semua kaum di negara. Badan yang dipertanggungjawabkan memelihara keluhuran dan ketinggian perlembagaan ialah badan kehakiman. Badan ini berkuasa menentukan kesahihan sesuatu undang-undang.

 

4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG 

        Setiap negara mempunyai undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, tenteram, stabil dan makmur. Justeru, kedaulatan undang-undang menjadi elemen penting bagi memastikan undang-undang berjalan dengan lancar. Kedaulatan undang-undang bermaksud setiap rakyat adalah sama tarafnya di sisi undang-undang negara tanpa sebarang driskiminasi kaum, jantina mahupun kedudukan (status sosial).

 

               Namun, kebebasan asasi tidak bermakna kita bebas melakukan apa sahaja sehingga melanggar undang-undang dan Perlembagaan Negara. Misalnya, adalah menyalahi undang-undang dan Perlembagaan Negera apabila ada pihak yang mahu menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan kerana ia bukan termasuk dalam pengertaian kebebasan dan hak asasi. Didalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

 

5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN 

               Prinsip ini mempunyai kaitan yang rapat dengan perkembangan dan pembangunan personaliti individu yang seharusnya dibina sejak kecil lagi. Prinsip ini juga berkait rapat dengan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat. Prinsip ini mesti menjadi panduan seluruh masyarakat supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan kemajuan dan pembangunan tamadun negara yang berasaskan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni.

 

                Kehidupan yang bersusila dan bersopan santun amat penting dalam konteks perhubungan etnik, terutama dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Dalam konteks ini, setiap warga negara sewajarnya tahu menghormati orang lain dengan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif kepada sesuatu kaum berkaitan kewarganegaraannya, asal keturunannya, bahasa, kebudayaan serta kepercayaan dan agam yang dianutinya.

 

                Kerajaan amat prihatin untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun, berdisiplin dan bermoral tinggi. Justeru, kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dianjurkan kerajaan adalah bertujuan mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki sifa-sifat mulia, beradab, bersopan santun, bertoleransi, saling memahami dan cintakan kedamaian. Ia selari dengan prinsip kelima Rukun negara itu.


                 Rukun Negara dihasilkan berdasarkan keperluan agama, bangsa, dan negara. Rukun Negara harus dilihat sebagai ‘internal cohesion’ atau kuasa dalaman yang dapat mengikat perpaduan dan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Objektif dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara itu masih releven untuk membentuk jati diri dan keperibadian rakyat.

 

                    Kesimpulannya, kewujudan Rukun Negara ini menjadi satu titik permulaan ke arah pencapaian perpaduan dalam kalangan semua etnik di Malaysia. Apabila rakyat Malaysia menghayati maksud Rukun Negara dengan sepenuhnya, maka sedar tentang ia akan memudahkan proses pentadbiran negara kerana rakyat mula sedar tentang konsep hormat hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa warna kulit, latar belakang dan budaya sesuatu masyarakat. Sehubungan dengan itu, matlamat Rukun Negara dapat dicapai dengan mudah tanpa prejudis.


RUJUKAN : 

- http://wiyashinee.blogspot.com

- ms.m.wikipedia.org

- https://www.malaysia.gov.my